TOKYO, 3 MAC – Hampir 1,700 anggota bomba sedang memerangi kebakaran hutan terbesar di Jepun dalam tempoh tiga dekad, kata pegawai pada hari ini, ketika kira-kira 4,600 penduduk masih dinasihatkan berpindah.
Seorang telah maut minggu lalu dalam kebakaran di wilayah utara Iwate, yang berikutan daripada rekod hujan rendah di kawasan berkenaan dan musim paling terpanas tahun lalu dalam rekod di seluruh Jepun.
Kebakaran berhampiran bandar Ofunato telah menghanguskan kira-kira seluas 5,200 ekar sejak Khamis, menurut Agensi Pengurusan Bomba dan Bencana.
Anggota bomba dari 14 wilayah Jepun, termasuk unit dari Tokyo, kini sedang menangani kebakaran, dengan 16 helikopter termasuk dari tentera, cuba memadamkan api.
Kebakaran berkenaan dianggarkan telah merosakkan 84 bangunan kelmarin, walaupun butiran masih dinilai, kata agensi itu.
Kira-kira 2,000 orang telah meninggalkan kawasan itu untuk tinggal bersama rakan atau saudara mara, manakala lebih 1,200 dipindahkan ke pusat perlindungan, menurut pegawai.
Rakaman awal pagi dari Ofunato di penyiar kebangsaan NHK menunjukkan api jingga berhampiran bangunan dan asap putih berkepul ke udara.
Bilangan kebakaran hutan di Jepun telah menurun sejak kemuncaknya pada 1970-an, menurut data kerajaan.
Tetapi terdapat kira-kira 1,300 kebakaran di seluruh negara pada 2023, tertumpu pada tempoh Februari hingga April apabila udara kering dan angin meningkat.
Ofunato juga mengalami hanya 2.5 milimeter (0.1 inci) hujan pada bulan Februari, memecahkan rekod terendah sebelumnya iaitu 4.4 milimeter pada 1967 dan di bawah purata biasa 41 milimeter. – AFP
