Tuesday, March 4, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun kerah 2,000 anggota bomba tangani kebakaran

    TOKYO, 3 MAC – Lebih 2,000 anggota bomba sedang berusaha memadam kebakaran hutan terbesar di Jepun dalam tempoh tiga dekad, kata pegawai hari ini, ketika kira-kira 4,600 penduduk masih berada di bawah nasihat pemindahan.

    Seorang individu maut minggu lalu akibat kebakaran di wilayah utara Iwate, yang berlaku selepas hujan turun pada kadar paling rendah dalam sejarah kawasan itu serta musim panas paling panas di Jepun tahun lalu, berpunca daripada perubahan iklim global.

    “Walaupun kebakaran ini pasti akan merebak dalam beberapa tahap, kami akan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan tiada kesan terhadap kediaman penduduk,” kata Perdana Menteri Shigeru Ishiba di parlimen.

    Kebakaran berhampiran bandar Ofunato telah memusnahkan sekitar 2,100 hektar sejak Khamis lalu, menurut Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana hari ini.

    Anggota bomba dari 14 wilayah Jepun, termasuk unit dari Tokyo, kini dikerahkan untuk mengawal api, dengan 16 helikopter – termasuk dari angkatan tentera – digunakan bagi menyiram kawasan terbakar.

    Sehingga Ahad, kebakaran itu dianggarkan telah merosakkan 84 bangunan, namun jumlah sebenar masih dalam penilaian, kata agensi berkenaan.

    Kira-kira 2,000 penduduk telah meninggalkan kawasan tersebut untuk berlindung di rumah saudara-mara atau rakan, manakala lebih 1,200 lagi dipindahkan ke pusat perlindungan, menurut pegawai.

    Rakaman dari Ofunato yang disiarkan oleh penyiar nasional NHK pagi ini menunjukkan api marak berhampiran bangunan dan asap putih berkepul di udara.

    Jumlah kebakaran hutan di Jepun menurun sejak kemuncaknya pada tahun 1970an, menurut data kerajaan. Namun, sekitar 1,300 kebakaran hutan direkodkan di seluruh negara pada tahun 2023, dengan kebanyakan kejadian berlaku dari Februari hingga April, ketika udara lebih kering dan angin bertiup kencang. – AFP

    Satu kebakaran hutan yang bermula pada Rabu lalu terus merebak di belakang rumah-rumah di Ofunato, wilayah Iwate, utara Jepun, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda