TOKYO, 18 DIS – Kerajaan Jepun hari ini meluahkan rasa kesal terhadap keputusan pihak berkuasa Denmark yang enggan memenuhi permintaan Tokyo untuk mengekstradisi aktivis anti-penangkapan ikan paus, Paul Watson, selepas beliau dibebaskan.
Pengasas kumpulan Sea Shepherd itu ditahan di Greenland pada Julai lalu berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Jepun berhubung kerosakan yang dialami semasa operasi kumpulannya di laut bagi menghentikan penangkapan ikan paus atas alasan ‘kajian saintifik’ pada 2010an.
“Kerajaan Jepun amat kesal kerana kerajaan Denmark tidak menerima permintaan Jepun untuk menyerahkan beliau, dan perkara ini telah disampaikan kepada pihak Denmark,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi, pada sidang media di Tokyo.
Menurut Hayashi, Paul Watson dikehendaki di seluruh dunia kerana terlibat dalam insiden Februari 2010, di mana aktivis organisasi anti-penangkapan ikan paus, Sea Shepherd, didakwa mencederakan anggota kru kapal penangkap ikan paus Jepun serta menyebabkan kerosakan harta benda.
“Kerajaan Jepun akan terus menangani perkara ini dengan sewajarnya berdasarkan undang-undang dan bukti yang tersedia,” katanya.
Pihak berkuasa Greenland, wilayah autonomi Denmark, membebaskan Watson yang kini berusia 74 tahun pada Selasa selepas Denmark menolak permintaan Tokyo untuk membawanya ke Jepun.
Watson, yang turut dikenali menerusi siri dokumentari televisyen, Whale Wars, merupakan pengasas Sea Shepherd dan Captain Paul Watson Foundation (CPWF). Beliau terkenal dengan taktik radikal dalam konfrontasi dengan kapal-kapal penangkap ikan paus di perairan laut. – AFP