Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun laksana sekatan baharu terhadap Korea Utara

    TOKYO, 1 APRIL – Kerajaan Jepun hari ini meluluskan sekatan baharu terhadap Korea Utara berhubung ujian tembakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baru-baru ini.

    Ia berikutan gesaan Washington supaya hukuman antarabangsa yang lebih keras dilaksanakan terhadap negara bersenjata nuklear itu.

    Jepun sudah pun mengharamkan perdagangan dan kemasukan kapal sebagai sebahagian daripada sekatan bersifat unilateral terhadap Pyongyang.

    Namun, hari ini Jepun akan menetapkan empat kumpulan dan sembilan individu yang terbabit dalam pembangunan nuklear dan peluru berpandu. Jurucakap tertinggi kerajaan, Hirokazu Matsuno berkata semua entiti dan individu terbabit akan tertakluk kepada pembekuan aset.

    Tindakan Jepun itu dibuat selepas Washington menggesa satu resolusi untuk mengemaskini dan mengukuhkan rejim sekatan terhadap Pyongyang di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu susulan pelancaran ICBM pertama rejim berkenaan sejak 2017.

    Menurut Korea Utara, pelancaran itu adalah kejayaan ujian peluru berpandu Hwasong-17, iaitu ICBM jarak jauh yang menurut penganalisis mungkin mampu membawa beberapa kepala peledak, di mana ia pertama kali diperkenalkan pada perarakan tentera pada 2020.

    Namun, Kementerian Pertahanan Korea Selatan memberitahu AFP bahawa Seoul dan Washington sudah membuat kesimpulan bahawa pelancaran itu sebenarnya adalah Hwasong-15, iaitu sebuah ICBM yang diuji Pyongyang pada 2017. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda