Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Jepun laksana ujian pelancongan

    TOKYO, 17 MEI – Jepun akan mula melaksanakan ujian pelancongan dalam jumlah yang terhad kepada pengembara dari Amerika Syarikat, Australia, Thailand dan Singapura bulan ini, menurut kenyataan kerajaan hari ini, ketika ia membuat uji kaji melonggarkan peraturan sempadan akibat COVID.

    Sempadan negara itu telah ditutup kepada hampir kesemua pengembara sejak musim bunga 2020 sebagai respons kepada pandemik koronavirus.

    Pihak berkuasa hanya baru-baru ini membenarkan beberapa golongan pelajar dan ahli perniagaan untuk memasuki negara itu.

    Namun masih tiada perancangan untuk memansuhkan sekatan sempadan secara menyeluruh, ketika negara-negara lain sudah melaksanakannya, dengan ujian tersebut melibatkan hanya pelancong dari empat buah negara yang menyertai pakej pelancongan dengan jadual perjalanan yang sudah ditetapkan, menurut Agensi Pelancongan Jepun.

    “Syarikat-syarikat pelancongan Jepun akan mengaturkan lawatan dan pemandu pelancongan tempatan akan menemani mereka,” kata agensi rasmi kepada AFP.

    Para pengembara yang akan terlibat dalam ujian pelancongan tersebut mesti sudah mendapatkan dos penggalak dan dilindungi insurans.

    Tidak akan ada sebarang perubahan kepada syarat ujian yang dilaksanakan ketika ini untuk memasuki Jepun, dengan pengembara-pengembara diwajibkan melaporkan keputusan negatif ujian saringan 72 jam sebelum pelepasan dan membuat ujian sekali lagi sebaik ketibaan.

    Agensi itu ketika ini sedang membincangkan rancangan bersama rantau-rantau yang dijangka berminat dengan pelancong luar, menurut pegawai. – AFP

    Jepun akan mula melaksanakan ujian pelancongan dalam jumlah yang terhad pengembara dari Amerika Syarikat, Australia, Thailand dan Singapura pada bulan ini. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...