TOKYO, 29 JUN – Jepun hari ini berjaya melancarkan satelit pemantauan perubahan iklim menggunakan roket utama mereka, H-2A, dalam penerbangan terakhirnya sebelum digantikan oleh model baharu yang lebih kos efektif bagi pasaran angkasa lepas global.
Roket H-2A dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun, membawa satelit GOSAT-GW (Global Observing SATellite for Greenhouse gases and Water cycle) sebagai sebahagian daripada usaha Tokyo menangani isu perubahan iklim. Sekitar 16 minit kemudian, satelit itu berjaya dipisahkan daripada roket dan memasuki orbit yang dirancang.
Di bilik kawalan, para saintis dan pegawai angkasa meraikan kejayaan pelancaran itu dengan pelukan dan ucapan tahniah, selepas pelancaran tertangguh selama beberapa hari akibat kerosakan pada sistem elektrik roket.
Keiji Suzuki dari Mitsubishi Heavy Industries, yang bertanggungjawab ke atas operasi pelancaran, mengakui ia merupakan misi paling mendebarkan baginya sepanjang kerjayanya. “Sepanjang hidup saya, saya bekerja keras agar roket H-2A tidak gagal… Saya hanya boleh kata, saya sangat lega,” katanya.
Pelancaran hari ini merupakan misi ke-50 dan terakhir untuk H-2A, yang sejak 2001 menjadi tulang belakang program angkasa Jepun dengan rekod prestasi hampir sempurna. Selepas persaraan H-2A, roket itu akan digantikan sepenuhnya oleh model baharu H3, yang kini telah mula beroperasi sebagai roket utama Jepun.
“Ia adalah detik penuh emosi bagi kami di JAXA sebagai pembangun,” kata Presiden Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA), Hiroshi Yamakawa dalam sidang media.
Satelit GOSAT-GW merupakan siri ketiga dalam misi pemantauan karbon, metana dan gas rumah hijau lain di atmosfera. – AP


