Jepun lanjutkan darurat, lulus bajet kecemasan

TOKYO, 30 APRIL – Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe kemungkinan besar akan melanjutkan perintah darurat seluruh negara yang dilaksanakan kerana koronavirus, sehingga bulan depan, media tempatan melaporkan hari ini.

Langkah itu pada awalnya diisytiharkan pada 7 April di tujuh buah wilayah yang berdepan peningkatan dalam jangkitan namun diperluaskan ke seluruh negara kemudiannya.

Dengan tempoh awal sebulan lamanya berakhir hujung minggu depan selepas cuti tahunan Golden Week negara itu, media tempatan melaporkan bahawa Abe kini dijangka melanjutkan perintah itu sama ada sehingga hujung Mei atau sehingga 6 Jun. Di parlimen hari ini, Abe mengatakan sistem penjagaan kesihatan negara itu terus berdepan satu ‘situasi amat sukar.’

Beliau memberitahu ahli parlimen ‘malah sekarang pun kita menyaksikan jangkitan baharu. Adakah kita boleh mengatakan bahawa pada 6 Jun perintah darurat berakhir? Saya rasa situasi teruk akan berlarutan.”

Dalam pada itu, parlimen juga meluluskan belanjawan kecemasan berjumlah kira-kira AS$240 bilion, termasuk pemberian wang tunai kepada setiap penduduknya, dalam usaha menyerap impak kemerosotan ekonomi akibat pandemik.

Bajet 25.7 trilion yen itu termasuklah sejumlah besar langkah-langkah untuk menaikkan ekonomi negara ketiga dunia itu, yang sudah pun berdepan dengan pertumbuhan rendah, inflasi dan kesan kenaikan cukai pengguna tahun lalu. Hampir separuh daripada bajet itu akan digunakan untuk pemberian wang tunai. Abe berikrar kerajaannya akan melakukan apa sahaja yang perlu tanpa teragak-agak untuk menangani impak pandemik ke atas ekonomi, yang juga merampas Olimpik dari Jepun tahun ini, memaksa sukan itu ditangguhkan sehingga Julai 2021. – AFP

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memakai penutup mulut dan hidung semasa menjawab soalan pada sesi pembentangan bajet kecemasan di dewan tinggi parlimen Jepun, 30 April. – AFP