Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun ‘Lanyak’ Myanmar 10-0

    CHIBA, JEPUN, 28 MEI – Jepun membelasah Myanmar 10-0 hari ini untuk mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia Zon Asia, selepas pembantah anti-junta bersorak menentang rampasan kuasa tentera di luar stadium.

    Lima gol dijaringkan Yuya Osaka membantu Jepun meraih kedudukan teratas dalam Kumpulan F dengan berbaki dua perlawanan, menentang pasukan Myanmar yang kehilangan beberapa pemain utama yang enggan beraksi sebagai tanda protes rampasan kuasa.

    Kira-kira 70 orang pembantah berkumpul sebelum perlawanan bermula di luar stadium di China, berhampiran Tokyo, membawa gambar-gambar pemimpin Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi dan mengibarkan bendera.

    “Pasukan ini tidak melambangkan rakyat Myanmar,” seorang pembantah dikenali sebagai A memberitahu AFP.

    “Ini bukan bantahan terhadap pemain. Kami cuma mahu mereka menghentikan kerjasama dengan junta.”

    Aksi penyerang Jepun, Takumi Minamino semasa pertemuan menentang Myanmar di Kelayakan Piala Dunia Zon Asia, kelmarin. – AFP

    Beberapa orang pemain memboikot perjalanan pasukan Myanmar, dengan penjaga gol, Kyaq Zin Htet berkata dia mahu bersama ‘dengan pendirian rakyat mereka’.

    Kyaw Zin Htet menyeru pemain yang membuat perjalanan ke Jepun untuk bangkit sebelum perlawanan hari ini.

    Tetapi semasa lagu kebangsaan dinyanyikan tiada sebarang insiden berlaku dengan pemain berdiri senyap.

    Pemain Jepun, Takumi Minamino membuka jaringan seawal minit kelapan, manakala Osaka meledak hatrik sebelum separuh masa.

    Dua lagi gol hasil Osaka dan penyerang Hidemasa Morita, Minamino, Daichi Kamada dan Ko Itakura melengkapkan kemenangan mudah buat pasukan tuan rumah dalam Kumpulan F.

    Jepun mencatatkan kemenangan dalam semua enam perlawanan, dengan 37 gol dan kekal tanpa bolos.

    Myanmar akan bertemu Kyrgyzstan dan Tajikistan ketika mereka memburu kedudukan kedua dalam peringkat kumpulan. Perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton tetapi pembantah jelas dapat didengar di dalam stadium sebelum perlawanan bermula. Kebenaran untuk mereka berada di luar stadium hanya sebelum perlawanan bermula. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda