CHIBA, 30 MAC – Jepun membelasah Mongolia 14-0 hari ini untuk merekodkan kemenangan terbesar dalam kelayakan Piala Dunia.
Jepun, yang menyasarkan kelayakan ketujuh berturut-turut ke Piala Dunia, tidak bermain dalam perlawanan kelayakan sejak November 2019 disebabkan pandemik koronavirus.
Tetapi pasukan Blue Samurai menunjukkan tiada tanda-tanda kaku dengan penyerang Southampton, Takumi Minamino meletakkan Jepun di hadapan seawal minit ke-13, dengan empat gol lagi dijaringkan sebelum separuh masa dan perlawanan berjaya dikawal sepenuhnya.
Sembilan lagi gol dijaringkan selepas babak kedua bersambung untuk memberikan Jepun rekod sempurna menang kesemua lima perlawanan – dengan 26 gol dijaringkan dan tiada bolos – walaupun mereka masih belum secara rasmi mengesahkan kedudukan dalam pusingan seterusnya.
Perlawanan berlangsung tanpa kehadiran penonton di Jepun meskipun Mongolia menjadi pasukan tuan rumah, disebabkan sekatan virus.
Minamino memulakan jaringan apabila dia menyudahkan hantaran pendek penjaga gol Mongolia, sebelum Yuya Osako dan Daichi Kamada meletakkan Jepun tiga gol di hadapan kurang daripada 30 minit.
Satu lagi gol dijaringkan Hidemasa Morita dan gol sendiri daripada Khash-Erdene Tuya meletakkan Jepun selesa di hadapan pada separuh masa dan Osako menjadikan kedudukan 6-0, 10 minit selepas perlawanan bersambung.
Pemain gantian, Sho Inagaki kemudian meledak gol dalam penampilan sulung, sebelum dua lagi gol dijaringkan oleh Junya Ito dan satu daripada Kyogo Furushashi membuatkan Jepun berada di hadapan dengan dua angka.
Furuhashi mencatatkan gol ke-11 untuk mencipta rekod baharu untuk Jepun di kelayakan Piala Dunia, sebelum Takumi Asano, Osako dan Inagaki menambah tiga gol sebelum wisel penamat. – AFP