BEIJING, 26 DIS – Jepun akan melonggarkan peraturan visa bagi pelancong dari China bagi memperkukuh hubungan pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua negara, kata Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, kelmarin.
Menurut agensi berita Kyodo, Iwaya menyampaikan rancangan itu semasa mesyuarat di Beijing yang memberi tumpuan kepada pertukaran budaya.
Langkah itu diambil susulan tindakan China pada akhir November untuk menyambung semula pengecualian visa bagi pelawat Jepun jangka pendek, yang sebelum ini digantung akibat pandemik COVID-19.
Terdahulu, Iwaya memaklumkan diplomat tertinggi China, Wang Yi telah bersetuju untuk melawat Jepun awal tahun depan bagi dialog ekonomi dua hala peringkat tinggi.
Iwaya juga mengesahkan penemuan sebuah boya baharu di zon ekonomi eksklusif Jepun berhampiran Wilayah Okinawa, yang dilaporkan dipasang oleh China dan menyeru agar ia segera dialihkan. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/P19-R1-web-Canva_27122024.jpg)