TOKYO, 27 DIS – Kerajaan Jepun hari ini meluluskan belanjawan rekod untuk tahun fiskal akan datang, menambah perbelanjaan dalam kebajikan sosial bagi menangani penduduk yang semakin tua dan pertahanan untuk menghadapi ancaman serantau.
Belanjawan sebanyak 115.5 trilion yen (AS$730 bilion) bagi tahun bermula April 2025 itu, yang diluluskan oleh Kabinet, termasuk 8.7 trilion yen untuk perbelanjaan pertahanan.
Ia juga merangkumi perbelanjaan keselamatan sosial sekitar 38.3 trilion yen meningkat daripada 37.7 trilion yen pada tahun sebelumnya.
Kementerian Pertahanan dalam dokumen taklimatnya menyatakan bahawa Jepun kini berdepan dengan ‘persekitaran keselamatan yang paling sukar dan kompleks’ sejak Perang Dunia Kedua, selaras dengan amaran yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Shigeru Ishiba.
Jepun mempunyai perlembagaan pasca-perang yang mengutamakan keamanan, yang mengehadkan kapasiti tenteranya kepada langkah-langkah yang bersifat pertahanan sahaja.
Namun, Jepun telah mengemas kini dasar keselamatan dan pertahanannya pada tahun 2022, dengan menggariskan cabaran yang ditimbulkan oleh China. Jepun juga komited untuk menggandakan perbelanjaan pertahanannya berdasarkan piawaian NATO sebanyak dua peratus daripada KDNK menjelang 2027.
Sebanyak 8.7 trilion yen yang diluluskan hari ini akan digunakan untuk langkah-langkah mendapatkan rekrut bagi Pasukan Pertahanan Diri Jepun dan memperbaiki hubungan antara tentera Amerika Syarikat dan Jepun dengan penduduk tempatan di Okinawa.
Belanjawan tersebut juga akan digunakan untuk membangunkan sistem pengumpulan maklumat satelit tentang peluru berpandu balistik, termasuk yang dilancarkan oleh Korea Utara, serta pemantauan pergerakan kapal di perairan sekitar Jepun, termasuk kawasan yang dipertikaikan dengan China.
“Memperkukuhkan keupayaan pertahanan adalah usaha yang sedang kami giatkan,” kata Ishiba dalam satu acara yang dianjurkan oleh akhbar Yomiuri kelmarin. – AFP