Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun lulus belanjawan AS$839 bilion

    TOKYO, 23 DIS – Jepun hari ini meluluskan belanjawan 114 trilion yen (AS$839 bilion) untuk tahun depan, termasuk perbelanjaan pertahanan rekod selepas pembaikpulihan strategi keselamatan yang diumumkan pada bulan ini.

    Belanjawan fiskal 2023 yang diluluskan oleh kabinet termasuk 6.8 trilion yen (AS$51 bilion) untuk Kementerian Pertahanan, meningkat kira-kira 30 peratus berbanding tahun lalu.

    Ia diumumkan seminggu selepas kerajaan meluluskan strategi keselamatan baharu termasuk pelan untuk menambah perbelanjaan pertahanan kepada dua peratus daripada keluaran dalam negara kasar menjelang tahun fiskal 2027, sejajar dengan garis panduan anggota NATO.

    Dalam rombakan pertahanan terbesar dalam tempoh beberapa dekad lalu, Jepun juga berikrar akan membina semula pusat tenteranya, selain memperoleh peluru berpandu baharu yang boleh menyerang tapak pelancaran musuh jarak jauh.

    Pembaikpulihan dasar itu dibentangkan dalam tiga dokumen pertahanan dan keselamatan yang menyifatkan Beijing sebagai ‘cabaran strategik terbesar dalam menjamin keamanan dan kestabilan Jepun,’ serta ‘kebimbangan’ untuk komuniti antarabangsa.

    Belanjawan baharu itu termasuk 211.3 bilion yen untuk membeli peluru berpandu Tomahawk buatan Amerika Syarikat dan 93.9 bilion yen untuk pengeluaran besar-besaran peluru berpandu jenis 12 buatan Jepun.

    “Kami merancang memperoleh kesemua peluru berpandu Tomahawk dalam tahun fiskal 2023,” beritahu pegawai Kementerian Pertahanan, enggan mengesahkan laporan mengatakan bahawa Jepun akan membeli sehingga 500 peluru berpandu berkenaan. – AFP

    Perdana Menteri, Fumio Kishida menghadiri sidang media di kediaman rasmi Perdana Menteri di Tokyo pada 16 Disember 2022. Jepun telah meluluskan belanjawan 114 trilion yen untuk tahun depan. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda