Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun lulus pakej rangsangan AS$140 bilion

    TOKYO, 22 NOV – Kerajaan Jepun meluluskan pakej rangsangan bernilai AS$140 bilion hari ini bertujuan untuk membantu pengguna berbelanja lebih selepas keputusan pilihan raya terburuk parti pemerintah dalam 15 tahun.

    Pilihan raya pada 27 Oktober menyaksikan pengundi marah terhadap rasuah dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) dan inflasi, menyebabkan gabungan Perdana Menteri baharu Shigeru Ishiba kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan.

    Pakej bernilai 21.9 trilion yen itu termasuk pemberian sekitar 30,000 yen untuk isi rumah berpendapatan rendah, subsidi bahan api dan tenaga serta bantuan untuk perniagaan kecil, menurut kerajaan.

    Kesan ekonomi keseluruhan dijangka berjumlah 39 trilion yen.

    “Untuk meningkatkan daya saing Jepun secara keseluruhan, kami akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dan wilayah serta menaikkan gaji untuk semua rakyat dalam semua generasi,” kata jurucakap kerajaan, Yoshimasa Hayashi, kepada wartawan.

    Orang ramai berjalan di kawasan membeli-belah di kawasan jalan utama daerah Ginza di pusat Tokyo, kelmarin. – AFP

    Untuk membiayai pakej tersebut, yang kedua dalam tempoh dua tahun, kerajaan akan membentangkan bajet tambahan di Dewan Perwakilan menjelang akhir tahun ini.

    Namun, pandangan mengenai langkah tersebut dalam kalangan orang ramai adalah bercampur-baur.

    Pengundi, Katsuhiro Hirakawa, 63, menyalahkan ahli politik yang membuat ‘keputusan mengikut kehendak mereka tanpa mendengar suara rakyat biasa.’

    Pihak berkuasa perlu ‘berfikir dengan teliti mengapa mereka memerlukan lebih banyak pendapatan cukai, atau bagaimana mereka dapat mengurangkan perbelanjaan yang membazir, sebelum membuat keputusan mengenai bajet,’ katanya kepada AFP di Tokyo.

    Manakala Hisaki Sato, 46, mahu lebih banyak bantuan untuk golongan kelas menengah, sambil menambah, “Sekarang kita hidup dalam zaman di mana bukan sahaja isi rumah berpendapatan rendah, tetapi keluarga berpendapatan sederhana juga memerlukan lebih banyak langkah rangsangan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda