TOKYO, 14 FEB – Kerajaan Jepun mengumumkan hari ini bahawa ia akan mengeluarkan satu perlima stok beras kecemasannya itu selepas negara itu mengalami cuaca panas, hasil tanaman yang buruk dan pembelian panik berikutan amaran gempa besar yang
hampir menggandakan harga beras dalam setahun.
Kerajaan Jepun sebelum ini telah menggunakan stok beras untuk menangani bencana seperti gempa bumi besar, tetapi ia merupakan kali pertama ia digunakan kerana masalah rantaian bekalan sejak stok tersebut diwujudkan pada 1995.
Beberapa rak beras di pasar raya telah kosong pada bulan Ogos selepas cuti seminggu, siri taufan dan amaran mengenai gempa bumi besar yang sehingga kini belum berlaku.
Kerajaan pada mulanya berharap harga beras akan stabil pada akhir tahun lalu selepas beras hasil baru dituai tiba di kedai-kedai, tetapi inflasi terus melonjak kali ini kerana beberapa pengedar menyimpan stok akibat bimbang akan kehabisan bekalan.
Menteri Pertanian, Taku Eto memberitahu wartawan bahawa kerajaan akan mengeluarkan 210,000 tan beras daripada stok simpanannya yang berjumlah satu juta tan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P10-1AAFP_15022025.jpg)
“Saya berharap awda akan melihat ini sebagai keazaman kami untuk memperbaiki keadaan di mana pengedaran tertangguh dan tersekat,” katanya.
Harga beras telah mula mengubah corak penggunaannya, seperti yang dialami oleh penduduk Tokyo, Eriko Kato.
“Saya masih membeli beras sekali-sekala, tetapi disebabkan harganya yang mahal, saya kadang-kadang memilih untuk tidak membelinya selepas melihat harganya,” kata Kato, 41, kepada AFP.
Harga purata runcit untuk sekampit beras lima kilogram (11 paun) kini mencecah 3,688 yen (AS$24) menurut tinjauan kerajaan pada bulan Februari, meningkat daripada 2,023 yen tahun lalu. – AFP