TOKYO, 18 APRIL – Parlimen Jepun meluluskan pindaan kepada undang-undang perlindungan dan pengurusan hidupan liar bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan meluluskan Emergency Shootings terhadap haiwan liar berbahaya yang memasuki kawasan berpenduduk, sebagai langkah proaktif menangani peningkatan insiden serangan beruang.
Pindaan ini dijangka akan mempercepatkan tindak balas berbanding prosedur semasa yang hanya membenarkan tindakan ketika ancaman kepada manusia telah pun berlaku.
Kerajaan Jepun merancang untuk menguatkuasakan undang-undang baharu menjelang musim luruh tempoh di mana beruang biasanya menjadi lebih aktif.
Antara haiwan yang diklasifikasikan di bawah kategori berbahaya termasuk beruang coklat, beruang hitam Asia dan babi hutan.
Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, beruang coklat kebanyakannya ditemui di wilayah Hokkaido, manakala beruang hitam wujud di 34 daripada 47 wilayah negara itu.
Di bawah pindaan undang-undang itu, kerajaan tempatan boleh mengarahkan pemburu atau pegawai bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat risiko haiwan liar memasuki kawasan perumahan atau jika penilaian mendapati tindakan pantas diperlukan bagi melindungi keselamatan awam.
Bagaimanapun, beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum tindakan boleh dijalankan termasuklah jika haiwan tidak dapat dikawal tanpa penggunaan senjata api dan jika tidak terdapat risiko kepada orang awam di kawasan sekitar.
Ketua pihak berkuasa tempatan juga boleh mengarahkan penutupan jalan atau pengosongan kawasan demi menjamin keselamatan semasa operasi dijalankan. Kerajaan tempatan turut akan menanggung pampasan sekiranya berlaku kerosakan harta akibat operasi itu.
Menurut data kementerian, sebanyak 219 kes kecederaan akibat serangan beruang dilaporkan sepanjang 2023, termasuk enam kematian jumlah tertinggi yang pernah dicatatkan. – Bernama
