Friday, September 13, 2024
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun minat kukuhkan pasaran halal melalui kerjasama dengan Malaysia

    KUALA LUMPUR, 25 OGOS – Sejajar dengan populariti Jepun yang meningkat sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia, syarikat Jepun kini berusaha untuk menggabungkan elemen halal ke dalam produk dan perkhidmatan mereka.

    Pengurus Urus Niaga Kanan Nihon M&A Center, Ryosuke Sakamoto berkata Malaysia antara negara utama yang mereka jalin kerjasama untuk meningkatkan permintaan ini.

    Katanya, Malaysia menawarkan pelbagai peluang pelaburan untuk syarikat Jepun, terutamanya dalam ekosistem halal.

    “Ekosistem ini menawarkan prospek dalam pelbagai sektor, termasuk makanan dan minuman, penjagaan diri, kosmetik, nutraseutikal, logistik dan pelancongan.

    “Syarikat Jepun, yang terkenal dengan standard yang tinggi dan pendekatan inovatif mereka, berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang ini, memperluas capaian pasaran mereka serta menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri halal di peringkat global,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata Japanese Exchange Group, antara kumpulan pertukaran terkemuka di rantau Asia Pasifik, menilai pasaran makanan halal global sebanyak AS$2.468 trilion pada 2023, dengan unjuran mencadangkan lonjakan kepada AS$5.81 trilion menjelang 2032.

    Dalam pasaran itu, Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan yang menarik, kata Sakamoto sambil menambah syarikat Jepun turut melihat Malaysia sebagai hab pelaburan yang menarik dan berminat untuk menjalankan perniagaan di negara itu. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda