KYOTO – Sebuah bangunan yang tidak berapa menonjol di kawasan perindustrian Kyoto tidak memberikan banyak petunjuk mengenai apa yang berlaku di dalamnya: sebanyak 30,000 tanaman salad tumbuh di dalamnya sehari, disokong cahaya tiruan dan tanpa intervensi manusia.
‘Kilang Sayuran’ ini menggunakan teknik pertanian menegak terkini, adalah sebahagian daripada trend di Jepun, yang mana penanaman tradisional berdepan ancaman berganda daripada penduduk yang menua dan penghijrahan ke bandar-bandar.
Usia purata seorang petani di Jepun adalah 67 tahun dan kekurangan bagi pengganti mereka menyebabkan negara itu terpaksa menjadi perintis dalam sektor pertanian menegak.
Beberapa firma terkenal di dunia seperti Panasonic, Toshiba dan Fujitsu turut mencubanya, mengubah kilang pengeluaran semi konduktor lama namun mencatat pelbagai tahap kejayaan.
Salah satu daripada beberapa buah syarikat yang mendapat keuntungan dengan cepat, Spread, telah menghasilkan 11 juta pokok salad setahun dari kilang terbaharunya di Kyoto, kawasan steril yang luas bagi sayuran disusun pada rak beberapa meter tinggi.
Mesin mengalihkan salad di sekitar kilang ke kawasan yang mempunyai cahaya, suhu, dan kelembapan yang bersesuaian untuk beberapa peringkat pertumbuhan. Proses ini berfungsi tanpa tanah atau racun perosak, dan hanya memerlukan beberapa orang pekerja untuk mengumpul salad pada pengakhiran proses.
Negara-negara lain juga telah menggunakan teknik pertanian menegak ini – terutamanya di Denmark dan Amerika Syarikat – namun krisis penduduk Jepun bermakna para petani semakin berkurangan dan persoalan timbul tentang bagaimana ekonomi ketiga terbesar dunia itu akan menyara diri dengan makanan. “Memandangkan kekurangan tenaga manusia dan penurunan pengeluaran industri pertanian, saya merasakan sistem baharu sangat diperlukan,” kata pengurus Spread, Shinji Inada kepada AFP.
Spread telah mengambil sedikit masa untuk membuat proses hampir sepenuhnya automatik: sebuah kilang yang lebih tua di Kyoto masih menggunakan beberapa belas orang untuk memindahkan pokok salad – satu ‘tugas yang sukar’, kata seorang pekerja.
Namun terdapat kelebihan yang jelas: “Kami boleh menghasilkan sayuran dalam kuantiti yang banyak dan pada kadar stabil sepanjang tahun, tanpa terjejas oleh perubahan suhu,” kata Inada.
“Manfaat lain adalah apabila kami hanya mengalami kerugian yang kecil disebabkan hasil kami boleh tahan lebih lama,” tambah pengusaha sayuran tersebut.
Pertanian mampan
Inada berkata firma pada mulanya mengalami kesukaran dalam menjual salad, tetapi ia semakin berkembang dengan pengeluaran salad lebih berkualiti dan harga yang konsisten – berbanding negara-negara yang mempunyai harga yang berbeza bergantung pada musim tertentu.
Salad-salad dihasilkan Spread boleh didapati di rak-rak pasar raya Kyoto dan ibu kota Tokyo dan Inada mempunyai wawasan untuk mengembangluaskan pengeluaran di negara-negara yang menjadikan salad ini sebagai salah satu hidangan utama.
Firma itu kini sedang membina sebuah lagi kilang di Narita berdekatan dengan Tokyo dan mencari pasaran luar negara yang mempunyai cuaca yang tidak sesuai bagi industri pertanian salad. “Kami dengan mudah boleh mengeksport sistem pengeluaran kami ke negara yang mempunyai cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk untuk menanam salad,” kata Inada.
Tetapi apakah sistem ini mesra alam? Inada berkata dia ragu-ragu sebelum melancarkan konsep tersebut, namun akhirnya dia membuat keputusan untuk terus melakukannya kerana penilaiannya mendapati banyak kebaikan daripada keburukan dalam sistem tersebut.
“Memang benar kami menggunakan lebih banyak tenaga berbanding pengeluaran menggunakan matahari, sebaliknya pengeluaran kami lebih tinggi berbanding kawasan permukaan yang sama,” katanya.
Sistem ini membolehkan firma ini menghasilkan lapan jenis tanaman salad setahun, tanpa mengira musim. Spread juga kurang menggunakan air berbanding kaedah pertanian tradisional.
“Saya percaya kami telah menyumbang kepada pertanian yang mampan bagi masyarakat,” kata Inada.
Jepun sudah mempunyai kira-kira 200 buah kilang salad yang menggunakan cahaya buatan tetapi kebanyakannya berskala kecil namun menurut kumpulan perundingan pakar Inoplex, kilang-kilang tersebut akan menggandakan bilangannya menjelang 2025.
Selain salad, penanaman tomato dan strawberi yang ditanam teknologi komputer menggunakan cahaya tiruan juga bakal menjadi kenyataan di negara itu. – AFP