TOKYO, 15 APRIL – Jurutera Jepun hari ini memulakan operasi mencabar untuk mengeluarkan sampel kedua serpihan sisa radioaktif dari dalam loji nuklear Fukushima yang rosak teruk.
Dianggarkan kira-kira 880 tan bahan berbahaya masih berada di tapak tersebut selepas bencana tsunami yang berpunca daripada gempa bumi berukuran 9.0 magnitud pada tahun 2011, yang turut mencetuskan salah satu kemalangan nuklear terburuk dalam sejarah dunia.
Proses pengeluaran sisa radioaktif ini dilihat sebagai cabaran paling besar dalam projek pelupusan loji yang dijangka memakan masa berdekad lamanya, berikutan tahap radiasi yang sangat tinggi dan berbahaya.
“Pada jam 10:03 pagi, operasi percubaan pengeluaran kedua telah dimulakan,” kata syarikat pengendali Fukushima, Tokyo Electric Power Company (TEPCO) dalam satu kenyataan.
Operasi kali ini dijalankan susulan kejayaan percubaan pertama pada November lalu, di mana TEPCO menggunakan alat khas teleskopik yang direka khusus untuk mengutip sampel.

Dalam operasi pertama itu, sampel yang berjaya dikeluarkan seberat kurang daripada 0.7 gram bersamaan kira-kira saiz sebiji kismis telah dihantar ke makmal penyelidikan berhampiran Tokyo untuk dianalisis.
Bagaimanapun, TEPCO memaklumkan lebih banyak data diperlukan bagi merancang kaedah pengeluaran sisa radioaktif berskala penuh pada masa hadapan.
Syarikat itu turut menyatakan pada Disember lalu bahawa mereka sedang menaik taraf alat teleskopik tersebut dengan memasang kamera baharu di hujung peranti untuk membantu proses pemantauan dan pengendalian.
Tiga daripada enam reaktor di loji Fukushima mengalami kerosakan teruk dan lebur susulan insiden tsunami pada tahun 2011 yang membanjiri seluruh kawasan itu.
Pada bulan lalu, robot-robot yang dikendalikan secara jauh telah memulakan kerja-kerja memindahkan beg pasir yang digunakan bagi menyerap air radiasi tercemar di tingkat bawah tanah dua bangunan di tapak loji tersebut.
Pada tahun 2023, Jepun telah memulakan proses pelepasan air sisa terawat bersamaan kira-kira 540 kolam renang bersaiz Olimpik ke Lautan Pasifik, satu langkah yang disahkan selamat oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). – AFP