TOKYO, 25 NOV – Bandar Kibichuo Jepun di Wilayah Okayama pada Isnin menjadi yang pertama di negara itu melancarkan ujian darah yang dibiayai awam untuk penduduk selepas tahap bahan per- dan polifluoroalkil (PFAS) yang sangat tinggi dikesan dalam bekalan air tempatan.
Di sebuah kemudahan ujian di bandar itu, penduduk mula tiba untuk pensampelan darah bermula pada 8:30 pagi, Xinhua memetik laporan penyiar awam NHK.
Inisiatif itu dibuat selepas air dari loji rawatan tempatan, yang membekalkan kira-kira 1,000 orang, didapati Oktober lepas mengandungi kepekatan PFAS 28 kali ganda paras sasaran interim kebangsaan.
Ujian itu tersedia untuk penduduk dan pekerja, iaitu berumur dua tahun ke atas di kawasan bekalan air yang terjejas, dengan kira-kira 790 individu berdaftar setakat hari ini. Pensampelan darah akan diteruskan sehingga 8 Disember, menurut laporan itu.
Keputusan dijangka dihantar kepada individu menjelang Januari 2025.
PFAS merangkumi lebih 10,000 bahan kimia sintetik, termasuk asid perfluorooctanesulfonik dan asid perfluorooctanoik, yang digunakan dalam produk seperti alat memasak tidak melekat dan pakaian kalis air.
Dalam penilaian kesihatan pertamanya terhadap bahan itu pada Jun, panel keselamatan makanan Jepun menyimpulkan bahawa kesan PFAS terhadap penurunan berat badan lahir dan pengurangan imuniti adalah “tidak dapat dinafikan”, walaupun “bukti terhad” mengenai potensi PFAS untuk menyebabkan kanser. – Bernama