Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun pecahkan 17 rekod suhu panas tahun ini

    TOKYO, 4 OGOS – Sebanyak 17 rekod suhu panas telah dipecahkan di Jepun hari ini, menurut agensi cuaca negara itu, selepas negara tersebut mengalami bulan Jun dan Julai paling panas dalam sejarah.

    Gelombang haba kini semakin kerap dan teruk di seluruh dunia akibat perubahan iklim yang didorong oleh aktiviti manusia, menurut para saintis dan Negara Jepun tidak terkecuali.

    Bandar Komatsu di wilayah tengah Ishikawa mencatat rekod baharu dengan suhu 40.3 darjah Celsius, kata Agensi Meteorologi Jepun (JMA), hari ini.

    Bandar Toyama di wilayah Toyama, juga mencatatkan suhu 39.8°C, iaitu suhu tertinggi sejak rekod mula direkodkan, menurut JMA.

    Lima belas lokasi lain di seluruh bandar dan pekan turut mencatat suhu tertinggi baharu antara 35.7°C hingga 39.8°C, tambah JMA, yang memantau suhu di lebih 900 lokasi di seluruh Jepun.

    Musim hujan berakhir kira-kira tiga minggu lebih awal daripada biasa di kawasan barat Jepun iaitu satu lagi rekod baharu.

    Dengan kadar hujan yang rendah serta suhu tinggi, beberapa empangan di wilayah utara hampir kering, menurut kementerian tanah, menyebabkan para petani bimbang kekurangan air dan cuaca panas melampau akan menjejaskan hasil tuaian.

    Salji di puncak Gunung Fuji yang terkenal juga hilang untuk tempoh paling lama tahun lalu, hanya muncul pada awal November berbanding purata pada awal Oktober.

    Jepun mencatatkan bulan Jun dan Julai paling panas sejak data mula dikumpulkan pada tahun 1898, dengan agensi cuaca memberi amaran tentang cuaca panas yang lebih teruk dalam bulan-bulan akan datang.  – AFP

    Gelombang haba di Jepun semakin teruk dan kerap berlaku di seluruh dunia akibat perubahan iklim. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda