TOKYO, 15 MEI – Tentera udara Jepun telah memulakan pemeriksaan keselamatan kecemasan ke atas hampir 200 pesawat latihan tenteranya selepas sebuah pesawat jenis terbabit terhempas beberapa minit selepas berlepas, menurut pihak berkuasa hari ini.
Pesawat latihan T-4 yang dikendalikan oleh Pasukan Pertahanan Udara Jepun (JASDF) dan membawa dua anggota perkhidmatan, terhempas ke sebuah takungan air kelmarin selepas berlepas dari Pangkalan Udara Komaki di wilayah Aichi, tengah Jepun.
Sementara operasi mencari pesawat dan dua kru yang masih hilang diteruskan hari ini, pihak tentera mengumumkan bahawa mereka telah memulakan pemeriksaan kecemasan terhadap baki 196 pesawat latihan yang ditempatkan di pangkalan JASDF seluruh negara.
Operasi kesemua pesawat itu telah digantung sejak nahas berlaku dan akan terus digantung sehingga punca insiden dikenal pasti dan pemeriksaan keselamatan diselesaikan, kata Ketua Staf Tentera Udara, Hiroaki Uchikura.
Kejadian tersebut merupakan insiden terbaharu dalam siri kemalangan membabitkan pesawat pertahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia berlaku ketika Jepun sedang mempergiat pembangunan ketenteraannya dan menggandakan perbelanjaan pertahanannya, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa peruntukan terhadap senjata mungkin mengatasi aspek keselamatan.
Pesawat yang terhempas itu merupakan T-4 berusia 36 tahun dari Pangkalan Udara Nyutabaru di wilayah Miyazaki, selatan Jepun. Ia tidak dilengkapi dengan perakam suara mahupun perakam data penerbangan, yang menjadi kekangan besar dalam siasatan. – AP
