Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun perkenal tempahan dalam talian ke Gunung Fuji

    TOKYO, 13 MEI – Pihak berkuasa Jepun mengumumkan sistem tempahan dalam talian untuk laluan paling popular di Gunung Fuji sebagai usaha menangani kebanjiran pelancong di gunung berapi aktif itu.

    Gunung tertinggi di Jepun itu menjadi semakin sesak semasa musim panas, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan kerosakan alam sekitar.

    Untuk mengurangkan kesesakan di Laluan Yoshida, laluan pilihan kebanyakan pejalan kaki, wilayah Yamanashi merancang untuk mengehadkan penyertaan harian kepada 4,000 orang, yang akan dikenakan bayaran AS$13 setiap individu.

    Namun, bagi menangani kebimbangan sesetengah pendaki yang tiba bahawa kehadiran mereka akan ditolak selepas had harian itu dicapai, tahun ini buat kali pertama, tempahan dalam talian akan diperkenalkan.

    Sistem itu akan menjamin kemasukan orang ramai melalui pintu masuk baharu, sekali gus membolehkan mereka merancang lebih awal,” kata seorang pegawai dari kerajaan wilayah Yamanashi, Katsuhiro Iwama kepada AFP.

    Gambar menunjukkan pemandangan udara Gunung Fuji, gunung tertinggi Jepun pada ketinggian 3,776 meter dari tingkap jet penumpang pada 30 Januari lalu. – AFP

    Tempahan dalam talian dibuka pada 20 Mei ini bagi musim kembara mulai Julai hingga September.

    Gunung Fuji dilitupi salji hampir sepanjang tahun, namun pada musim panas, lebih 220,000 pelawat mendaki gunung curam dan berbatu berkenaan, selain ramai mendaki sepanjang malam untuk menyaksikan matahari terbit.

    Sesetengah pendaki cuba mencapai puncak 3,776 meter tanpa rehat, namun kebiasaannya akan berdepan sakit atau kecederaan.

    Pelancong juga berpusu-pusu ke kawasan sekitar untuk merakam gambar gunung indah itu, yang dilihat sebagai simbol Jepun, namun situasi itu tidak disenangi penduduk tempatan.

    Orang yang bekerja dan tinggal berdekatan mengadu mengenai tindakan pelancong asing yang menceroboh, membuang sampah dan melintas jalan secara berbahaya untuk merakam gambar bagi dimuatkan dalam media sosial mereka. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda