TOKYO, 18 MAC – Perdana Menteri Jepun hari ini berkata negara itu akan memperluaskan langkah kuarantin dan larangan masuk pelawat dari beberapa negara termasuk Itali dan Sepanyol yang paling terjejas akibat wabak koronavirus (COVID-19).
Pengumuman oleh Perdana Menteri Shinzo Abe itu menambah lagi larangan kemasukan bagi beberapa bahagian di Itali, Sepanyol, Switzerland dan Iceland selain peraturan sedia ada yang melarang kemasukan pelancong asing yang datang dari bahagian yang teruk terjejas dari China, Korea Selatan dan di beberapa negara lainnya.
Langkah-langkah baharu itu juga memperluaskan senarai negara yang tertakluk kepada kuarantin semasa ketibaan, walaupun pengasingan 14 hari adalah atas permintaan, tanpa ciri penguatkuasaan tertentu.
“Kami akan menambah kawasan tertentu di Itali, Sepanyol dan Switzerland, serta Iceland, ke senarai larangan masuk ke negara ini,” kata Abe pada mesyuarat peringkat kabinet mengenai virus itu.
“Memandangkan keadaan penularan wabak semakin meruncing, kami memutuskan untuk meningkatkan lagi kuarantin bagi 38 negara, termasuk negara-negara Eropah.”
Pelancong asing dan Jepun yang berasal dari negara-negara yang terjejas akan diminta untuk tinggal di tempat-tempat yang ditetapkan oleh pegawai kuarantin selama 14 hari dan mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam.
Larangan masuk berkuat kuasa dengan serta-merta, dengan langkah kuarantin bermula 21 Mac ini.
COVID-19 telah menjangkiti lebih daripada 71,000 orang dan membunuh lebih 3,330 di Eropah, majoriti di Itali, Sepanyol dan Perancis.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia meminta ‘tindakan paling tegas’ terhadap pandemik di benua itu, pusat baharu wabak itu. – AFP
