TOKYO, 19 JAN – Kerajaan Jepun akan menyenaraikan Tokyo dan 12 kawasan lain di bawah sekatan baharu COVID-19 berkuat kuasa pada Jumaat, disebabkan peningkatan jangkitan kes Omicron yang mengancam untuk melumpuhkan masyarakat.
Panel pakar suruhanjaya kerajaan hari ini meluluskan rancangan untuk menyenaraikan 13 buah kawasan berada dalam sekatan selama tiga minggu sehingga 13 Februari, kata Menteri Pembangunan Semula Ekonomi, Daishiro Yamagiwa, yang turut bertanggungjawab ke atas langkah pembendungan virus.
Sementara itu, Perdana Menteri, Fumio Kishida dijangka akan membuat pengumuman rasmi langkah baharu tersebut semasa perjumpaan pasukan petugas kerajaan lewat hari ini.
Jepun setakat ini melaksanakan semula perintah berkurung bagi membendung penularan pandemik dan mengarahkan restoran dan bar ditutup lebih awal serta melarang menyajikan minuman beralkohol. Selain itu, orang awam diminta untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial, dan kerajaan cuba meminimumkan kesan buruk terhadap ekonomi.
Japan secara perlahan-lahan membuka semula aktiviti sosial dan perniagaan sejak awal gelombang jangkitan yang berkurangan pada September, yang mana pakar berkata ia adalah hasil perkembangan pantas negara itu dalam mengagihkan vaksin dos kedua.
Namun pakar berkata jangkitan terbaharu disebabkan varian Omicron. Varian yang mudah berjangkit itu menyebabkan sejumlah petugas kesihatan dan lainnya membuat pengasingan diri selepas disahkan positif atau menjadi kontak rapat kepada seseorang yang dijangkiti. Peningkatan ketara kes jangkitan sudah mula melumpuhkan hospital, sekolah dan beberapa sektor lain.
Kerajaan telah mengambil langkah berikutan permintaan daripada gabenor tempatan, termasuk Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, yang memberi amaran bahawa kemungkinan perkhidmatan awam penting, seperti pengangkutan awam dan pemungut sampah, terpaksa dihentikan.
Tokyo melaporkan 5,185 kes jangkitan baharu kelmarin. Di seluruh negara, Jepun mencatatkan lebih 32,000 kes, menjadikan kes keseluruhan kepada 1.93 juta dan 18,400 kematian. – AP