TOKYO, 2 FEB – Sebuah syarikat kad kredit utama Jepun merancang untuk memperkenalkan pembayaran sentuh bagi pengangkutan awam di seluruh negara itu seawal 2026, bertujuan memudahkan perjalanan untuk pelancong asing yang sering bergantung kepada wang tunai atau kad transit jangka pendek, lapor agensi berita Kyodo.
Inisiatif oleh Sumitomo Mitsui Card Co itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pemegang kad syarikat berkenaan, tetapi juga membolehkan pengguna kad kredit lain membuat pembayaran sebagai ganti kad pengangkutan dan tiket khas untuk menaiki kereta api serta bas, menurut seorang pegawai syarikat.
Pada masa ini, pengunjung perlu menggunakan mesin tiket atau membeli kad transit fizikal dengan cip litar bersepadu seperti Suica atau Pasmo untuk mengakses rangkaian pengangkutan awam Jepun.
Sistem Sumitomo Mitsui bertujuan menyelaraskan Jepun dengan piawaian antarabangsa dengan membolehkan pembayaran sentuh terus melalui kad kredit, amalan biasa di luar negara.
Syarikat itu bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam bagi memasang peranti pembaca kad di pintu masuk stesen kereta api serta di dalam bas. Langkah itu juga dijangka mengurangkan beban operasi, termasuk keperluan menjelaskan kadar tambang dalam pelbagai bahasa dan membantu pemandu bas yang sering menguruskan pembelian tiket.
Sumitomo Mitsui telah memperkenalkan sistem bayaran sentuh di beberapa kawasan terpilih, dengan 108 pengendali di 31 daripada 47 wilayah Jepun sudah menggunakan sistem itu.
Menurut jenama kad kredit global Visa Inc, penggunaan pembayaran sentuh di Jepun meningkat daripada satu peratus pada 2020 kepada 40 peratus pada 2024, didorong oleh peningkatan permintaan di kedai dan restoran semasa pandemik COVID-19.
Peluasan sistem ini amat ketara di wilayah Kansai, yang berpusat di Osaka dengan penggunaan bayaran sentuh berkembang pesat menjelang Ekspo Dunia 2025, yang dijangka menarik kira-kira 28 juta pelawat dari 13 April hingga 13 Oktober. – Bernama