TOKYO, 27 MAC – Jepun mendedahkan rancangan untuk memindahkan kira-kira 120,000 orang penduduk dan pelancong dari selatan pulau kecil yang terletak berhampiran Taiwan dalam tempoh enam hari, sekiranya berlaku ‘kecemasan’.
Rancangan itu diumumkan ketika ‘keadaan keselamatan yang semakin teruk di negara kita’ dan mengambil kira kemungkinan berlaku ‘kecemasan,’ menurut pejabat pengurusan krisis kerajaan.
Walaupun jenis kecemasan yang dimaksudkan tidak dijelaskan dalam rancangan tersebut, ia merujuk kepada pemindahan kira-kira 120,000 orang dari lima buah pulau Jepun yang terletak berhampiran Taiwan.
Di bawah rancangan tersebut, kapal tentera, feri persendirian dan pesawat akan dikerah untuk membantu menghantar penduduk keluar dari pulau-pulau tersebut, termasuk ke pulau Kyushu di barat daya kepulauan Jepun.
Ia membawa kepada lebih dua kali ganda kapasiti pengangkutan biasa, menjadikan pemindahan itu selesai dalam tempoh enam hari, menurut rancangan itu. – AFP
