TOKYO, 9 NOV – Jepun hari ini melaporkan ombak tsunami kecil melanda pesisir Pasifik utara negara itu selepas gempa bumi berkuasa 6.7 magnitud berlaku di luar pesisir.
Tsunami pertama melanda Miyako, Iwate, pada 5:37 petang, namun ombak itu terlalu kecil sehingga Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata ukurannya tidak dapat dicatatkan. Dua minit kemudian, ombak setinggi 10 sentimeter tiba di Ofunato, menurut JMA.
Gempa itu berlaku sekitar 5:03 petang di perairan luar Iwate, sekali gus mendorong JMA mengeluarkan nasihat berkemungkinan tsunami setinggi satu meter.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengukur gempa itu pada magnitud 6.8.
“Satu nasihat tsunami telah dikeluarkan” untuk pesisir Iwate, kata JMA dalam buletinnya sambil memberi amaran bahawa ombak boleh tiba pada bila-bila masa.
Gempa utama itu diikuti beberapa gegaran susulan berukuran antara 5.3 hingga 6.3 magnitud, menurut JMA.
Rakaman langsung di televisyen Jepun menunjukkan keadaan laut yang tenang.
Pada pagi Ahad, kawasan yang sama turut mengalami enam gempa luar pesisir berukuran antara 4.8 hingga 5.8 magnitud, namun hampir tidak dirasai di daratan dan tidak mencetuskan sebarang nasihat tsunami.
Wilayah itu masih dihantui tragedi gempa bumi dasar laut berkuasa 9.0 magnitud pada 2011 yang mencetuskan tsunami mengorbankan sekitar 18,500 orang.
Tsunami itu turut menyebabkan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami kerosakan teruk, mengakibatkan bencana paling buruk selepas perang di Jepun dan insiden nuklear paling dahsyat dunia sejak Chernobyl.
Jepun terletak di atas empat plat tektonik utama di pinggir barat Lingkaran Api Pasifik dan merupakan antara negara paling aktif secara tektonik di dunia.
Negara kepulauan itu, yang mempunyai sekitar 125 juta penduduk, mengalami kira-kira 1,500 gegaran setiap tahun. Sebahagian besarnya adalah kecil, namun tahap kerosakan bergantung pada lokasi dan kedalaman gegaran. – AFP

