Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun sahkan kes pertama Omicron

    TOKYO, 30 NOV – Jepun hari ini mengesahkan kes pertama varian koronavirus baharu, Omicron apabila seorang diplomat Namibia yang baru-baru ini tiba dari negaranya positif varian tersebut, menurut pegawai.

    Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno mengatakan pesakit, berusia 30an diuji positif sejurus tiba di lapangan terbang Narita pada Ahad dan diasingkan serta dirawat di sebuah hospital.

    Lewat hari ini, Menteri Kesihatan Shigeyuki Goto mengenalpasti pesakit sebagai diplomat dari Namibia.

    Satu penjujukan genom di Institut Kebangsaan Penyakit Berjangkit mengesahkan bahawa dia dijangkiti varian baharu, yang berasal dari Afrika Selatan.

    Pesakit pada awalnya tidak menunjukkan sebarang simptom, namun kini mengalami demam, kata Goto. Pegawai kementerian kesihatan mengatakan dia sudah menerima vaksin lengkap Moderna pada Julai lalu.

    Sejumlah 70 lagi penumpang lain, termasuk dua ahli keluarga pesakit dalam pesawat yang sama dikenalpasti sebagai kontak rapat, namun semuanya diuji negatif dan sedang melakukan pengasingan kendiri yang dipantau oleh pihak berkuasa Jepun. Jika mereka enggan bekerjasama, mereka akan dikenakan denda, kata Goto.

    Sepuluh lagi kru pesawat tidak memasuki Jepun dan meneruskan penerbangan mereka ke destinasi seterusnya.

    Manakala 40 lagi penduduk Tokyo dikenal sebagai kontak rapat diminta menjalani kuarantin di kemudahan ditetapkan kerajaan bagi memastikan langkah-langkah antivirus dipatuhi, Gabenor Yurike Koike memberitahu wartawan.

    Jepun sudah pun mengumumkan kelmarin bahawa ia melarang kemasukan pelancong asing bermula hari ini sebagai langkah kecemasan terhadap varian, sehingga hujung tahun. Kerajaan juga mewajibkan warga Jepun dan asing yang mempunyai permit residen untuk menjalani kuarantin 14 hari susulan kemasukan mereka. – AP

    Pembatalan penerbangan dilihat di papan elektronik di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, 30 November. Jepun hari ini mengesahkan kes pertama varian Omicron dari diplomat yang tiba dari Namibia, menurut pegawai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda