TOKYO, 17 SEPT – Seorang wanita berusia 20an dengan sejarah perjalanan ke Afrika disahkan dijangkiti mpox di Kobe, Jepun, kata Kementerian Kesihatan, kelmarin.
Ujian genetik menunjukkan beliau dijangkiti strain Clade 1b, menjadikan itu kes pertama pengesanan jenis virus berkenaan di Jepun.
Strain itu diketahui menular di beberapa kawasan di Afrika Tengah.
Pesakit berkenaan mengalami demam dan ruam kulit sebelum mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di Kobe pada 12 September. Pegawai kesihatan memaklumkan keadaannya stabil.
Pihak berkuasa berkata setakat ini tiada petunjuk berlaku penularan dalam komuniti di Jepun. – Bernama


