TOKYO, 7 NOV – Jepun hari ini mengumumkan bahawa eksport makanan lautnya telah disambung semula buat kali pertama sejak China mengenakan larangan berhubung pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi yang rosak akibat tsunami lebih dua tahun lalu.
Ketua Setiausaha Kabinet, Minoru Kihara berkata kepada media bahawa sebanyak enam tan kekapis beku dari Hokkaido dihantar ke China pada Rabu, menjadikannya penghantaran pertama sejak Beijing melarang semua makanan laut Jepun pada Ogos 2023.
Beijing pada Jun lalu mengumumkan pelonggaran larangan itu dan persediaan bagi menyambung semula import, susulan rundingan berulang antara kedua-dua negara.
Pelepasan air terawat dari loji Fukushima Daiichi, yang bertahun-tahun diperdebatkan di dalam negara kerana kebimbangan terhadap kerosakan reputasi kawasan tersebut dan hasil penduduk setempat, turut menjadi isu politik besar antara Jepun dan negara jirannya, termasuk China dan Korea Selatan.
Larangan itu memberi tamparan hebat kepada industri makanan laut Jepun. China merupakan pasaran luar negara terbesar bagi makanan laut Jepun.

“Kerajaan menganggap perkembangan ini sebagai satu langkah positif,” kata Kihara sambil menggesa China untuk meneruskan proses pendaftaran semula permohonan tertangguh daripada pengeksport makanan laut Jepun.
Larangan masih berkuat kuasa terhadap makanan laut dari Fukushima dan sembilan wilayah berhampiran, yang dikenakan China sejurus selepas insiden lebur teras loji itu.
Kihara berkata Jepun juga akan terus mendesak Beijing agar menarik balik baki larangan serta menyambung semula import daging lembu Jepun.
Loji Fukushima Daiichi mengalami tiga lebur teras selepas gempa bumi dan tsunami besar pada 2011, menyebabkan kebocoran besar air sisa radioaktif yang perlu dikumpulkan dan disimpan di dalam tangki.
Syarikat utiliti loji tersebut memperoleh kelulusan kerajaan Jepun serta sokongan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk pelepasan air secara berperingkat ke laut selepas dirawat dan dicairkan. Langkah itu perlu bagi menyediakan ruang membina kemudahan yang diperlukan untuk proses nyahaktif yang berterusan, di samping mengelakkan risiko tumpahan tidak sengaja dari tangki penyimpanan. – AFP

