TOKYO, 29 MAC – Jepun sedang bersedia untuk menyambung semula pembiayaan kepada agensi PBB bagi pelarian Palestin (UNRWA) yang dilanda krisis, yang menyelaras hampir semua bantuan ke Gaza, kata kerajaan.
Sebelum ini, Jepun merupakan penyumbang keenam terbesar kepada agensi tersebut.
Namun, Jepun bersama lebih 12 negara lain telah menangguhkan pembiayaan selepas Israel mendakwa bahawa 12 daripada 13,000 pekerja UNRWA di Gaza terlibat dalam serangan maut Hamas pada 7 Oktober.
Menteri Luar Jepun, Yoko Kamikawa bertemu ketua UNRWA, Philippe Lazzarini di Tokyo kelmarin untuk membincangkan langkah-langkah yang diambil oleh agensi tersebut bagi mengukuhkan tadbir urus dan ketelusan.
“Jepun dan UNRWA mengesahkan bahawa mereka akan meneruskan penyelarasan terakhir mengenai usaha yang diperlukan untuk menyambung semula sumbangan Jepun,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.
Laporan media Jepun berkata penyambungan semula pembiayaan, yang telah digantung pada Januari, dijangka akan berlaku pada separuh pertama bulan April. – AFP