TOKYO, 30 DIS – Jepun hari ini mula mewajibkan ujian saringan COVID bagi semua penumpang tiba dari China sebagai langkah-langkah kecemasan terhadap peningkatan jangkitan di sana selain negara itu sendiri kini berdepan peningkatan jumlah kes dan kematian mencecah tahap rekod.
Jepun melaporkan satu rekod 420 kematian baharu koronavirus pada Khamis, sehari selepas mencapai satu rekod 415 kematian dalam sehari, menurut Kementerian Kesihatan.
Jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding kematian harian pada kemuncak gelombang awal dalam Ogos, apabila ia melangkaui jumlah 300. Pakar mengatakan punca bagi peningkatan terkini adalah tidak jelas, namun boleh dikaitkan dengan penyakit kronik dalam kalangan pesakit lebih tua.
Jepun hari ini menguatkuasakan langkah-langkah pengawalan sempadan yang diumumkannya awal minggu ini iaitu ujian antigen yang sudah pun dijalankan ke atas mereka yang memasuki negara itu dan disyaki menghidap COVID, kini adalah mandatori kepada semua orang yang tiba dari tanah besar China. Mereka yang diuji positif akan dikuarantin sehingga tujuh hari di kemudahan-kemudahan yang ditetapkan dan sampel mereka akan digunakan untuk analisis genom.
Langkah-langkah itu bermula men-jelang cuti Tahun Baharu yang disambut dengan pengembaraan dan pesta. Penerbangan langsung dari China dan Jepun akan dihadkan ke empat buah lapangan terbang utama Jepun buat masa sekarang, kata pegawai.
Manakala penerbangan dari Hong Kong dan Macau akan dibenarkan mendarat di tiga buah lapangan terbang iaitu New Chitose di Hokkaido, Naha di Okinawa dan Fukuoka – dengan syarat tiada penumpang yang pernah ke tanah besar China dalam masa tujuh hari sebelum penerbangan.
Pihak berkuasa Hong Kong menggelar sekatan itu ‘tidak berasas’ dan meminta pihak berkuasa Jepun menarik balik arahan itu. Sebelum penambahan tiga lapangan terbang bagi Hong Kong dan Macau, pihak berkuasa mengatakan sekitar 60,000 pengembara dan 250 penerbangan akan terjejas antara Disember dan Januari.
Operator pelancongan Hong Kong juga bertungkus-lumus mengatur semula penerbangan bagi pelanggan mereka untuk meminimumkan kerugian.
Jepun awal tahun ini menghentikan keperluan ujian saringan COVID bagi kemasukan pengembara yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga suntikan vaksin – sebagai sebahagian daripada pelonggaran berhati-hati negara itu selepas secara harfiahnya menutup sempadannya kepada pelancong asing selama hampir dua tahun. Tahun ini merupakan musim percutian pertama tanpa sekatan virus selain ia tetap menggalakkan pemakaian pelitup muka dan ujian.
Negara itu kini melaporkan kira-kira 200,000 kes harian COVID dan lebih berhati-hati terhadap penularan influenza musim dingin tahun ini yang berpotensi membebankan sistem kesihatannya. – AP