TOKYO, 2 DIS – Jepun merancang menjana kira-kira 20 gigawatt elektrik, bersamaan dengan hasil janaan daripada 20 reaktor nuklear, menggunakan sel suria perovskit inovatif menjelang tahun fiskal 2040.
Inisiatif itu sebahagian strategi kerajaan Jepun memperluaskan tenaga boleh diperbaharui dan mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, menurut agensi berita Kyodo yang memetik pegawai Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.
Draf pelan tenaga yang dikemas kini, yang mengutamakan penggunaan sel suria generasi baharu sebagai teknologi utama itu, dijangka diumumkan bulan ini.
Sel suria perovskit, yang biasanya direka bentuk fleksibel dan ringan, boleh dipasang pada permukaan seperti dinding bangunan, tingkap dan bumbung kenderaan, sekali gus menangani kekangan ruang Jepun untuk pemasangan panel solar berasaskan silikon konvensional.
Sel suria canggih itu mempunyai potensi untuk digunakan secara meluas, walaupun terdapat cabaran seperti meningkatkan ketahanan dan mengurangkan kos yang perlu ditangani sebelum ia dikomersialkan sepenuhnya, yang dijangka pada 2030an.
Dominasi Jepun dalam pengeluaran iodin, bahan penting untuk sel perovskit, memberi kelebihan kepada negara untuk mewujudkan rantaian bekalan yang stabil dan tidak bergantung kepada yang lain, sekali gus meningkatkan keselamatan ekonomi serta daya saing global. – Bernama