TOKYO, 22 JULAI – Sebuah utiliti Jepun berkata hari ini ia sedang mengambil langkah awal untuk membina reaktor nuklear baharu pertama negara itu sejak bencana loji nuklear Fukushima lebih 10 tahun lalu.
Selepas tsunami 2011 dan krisis di loji nuklear Fukushima Daiichi, Jepun menutup semua reaktor nuklearnya, dengan orang ramai menyuarakan kebimbangan tentang sumber tenaga itu.
Namun kerajaan terus menyokong kuasa nuklear sebagai sumber tenaga yang boleh dipercayai dan bersih yang diperlukan Jepun tatkala ia bercita-cita mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
Dan 14 tahun sejak bencana itu, Jepun telah menghidupkan semula banyak reaktor, dengan kebimbangan orang ramai tentang kuasa nuklear semakin berkurangan, menurut tinjauan.
Presiden Utiliti Kansai Electric, Nozomu Mori berkata hari ini syarikat itu akan menjalankan tinjauan geologi untuk menilai kemungkinan untuk membina loji pengganti kepada Stesen Janakuasa Nuklear Mihama, menyambung semula projek yang ditangguhkan akibat bencana 2011.
“Memandangkan sumber asli adalah terhad di negara kami… adalah penting kuasa nuklear memenuhi peranannya pada tahun-tahun akan datang,” katanya semasa sidang media yang disiarkan di televisyen, sambil menambah tidak jelas bila pembinaan akan bermula.
Selepas krisis Fukushima 2011, Kansai Electric menggantung tinjauan geologi yang diperlukan untuk rancangan menggantikan salah satu daripada tiga reaktor Mihama. – AFP
