Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun sediakan pendedahan terbaik

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Negara Brunei Darussalam akan menghantar sebuah pasukan bola sepak ke Jepun, bagi menyertai satu kejohanan bola sepak anjuran The Japan-ASEAN Youth Sports Exchange, di bawah JENESYS 2017 Mac depan.

    Program tersebut, yang akan diadakan bermula 6 hingga 14 Mac di Tokyo dan Miyazaki, menjemput para remaja sekolah tinggi (bawah 16 tahun) dari negara-negara ASEAN dan Timor Leste bersaing secara sihat dalam sukan bola sepak.

    Sebagai tambahan kepada 10 buah pasukan itu adalah pasukan kebangsaan B-15 Jepun dan pasukan pilihan B-16 Miyazaki yang akan turut bersaing.

    Selain bermain bola sepak, mereka juga akan membuat lawatan ke Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Juara-Juara AFC serta membuat kunjungan ke Muzium Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan National Museum of Emerging Science and Innovation.

    Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato (kiri) ketika bercakap dengan Pasukan Kebangsaan B-16 yang akan bersaing di Jepun minggu depan.

    Program inisiatif kerajaan Jepun dan kerjasama daripada JFA itu juga akan mendedahkan para pemain mengenai kepentingan diplomasi melalui bola sepak antara Jepun dan negara-negara ASEAN.

    Antara tujuan JENESYS 2017 adalah memberikan pendedahan dan pengalaman kepada para belia untuk mengenali ‘Jepun sebenar’, budayanya, ciri-ciri ekonomi dan teknologi serta memahami keperluan perniagaan dan minatnya dengan Negara Brunei Darussalam.

    Para belia diharap akan dapat memanfaatkan pembelajaran dan pengalaman mereka di Jepun nanti dan mempromosikan hubungan di antara kedua buah negara agar semakin kukuh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda