TOKYO, 1 SEPT – Kerajaan Jepun mengumumkan hari ini bahawa ia akan mengenakan sekatan terhadap tiga kumpulan dan empat individu kerana menyokong program pembangunan peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.
Ketua Setiausaha Kabinet, Hirokazu Matsuno berkata hari ini sekatan itu, seiring dengan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, adalah sebagai tindak balas terhadap percubaan Korea Utara melancarkan satelit pengintip pada 24 Ogos dan menembak dua peluru berpandu pada Rabu, memandangkan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengharamkan sebarang pelancaran Korea Utara menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.
Sekatan tambahan, yang diluluskan semasa mesyuarat Kabinet hari ini, membekukan aset tiga kumpulan penggodam yang berpangkalan di Korea Utara yang dikaitkan dengan serangan siber – Andariel, BlueNoroff dan Korea Expo Joint Venture – serta empat individu, tiga daripadanya berpangkalan di China, menurut kenyataan Kementerian Luar.
AS mengenakan sekatan semalam ke atas dua orang; seorang warga Korea Utara dan seorang Rusia yang dikaitkan dengan firma berdaftar di Moscow yang dituduh menyokong program peluru berpandu balistik Utara. – AP
