Friday, July 25, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun setuju tarif timbal balik 15 peratus

    WASHINGTON, 23 JULAI – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa mengumumkan bahawa beliau telah mencapai perjanjian perdagangan ‘penting’ dengan Jepun, yang menyaksikan negara Asia itu bersetuju dengan tarif timbal balik sebanyak 15 peratus, lapor Kyodo News.

    Jepun turut memperoleh beberapa konsesi, dengan pentadbiran Trump mengurangkan separuh tarif tambahan sebanyak 25 peratus ke atas kereta yang diimport dari negara itu.

    “Tiada yang pernah setanding dengannya,” kata Trump menerusi media sosial, sambil menambah bahawa Jepun akan membuka pasaran bagi kereta, trak, beras, beberapa produk pertanian dan barangan lain.

    Pengumuman itu dibuat selepas ketua perunding tarif Jepun, Ryosei Akazawa bertemu dengan Trump di Rumah Putih. Akazawa tiba di Washington pada Isnin untuk rundingan secara bersemuka buat kali kelapan bersama anggota Kabinet AS.

    Jepun dijangka dikenakan duti khusus sebanyak 25 peratus ke atas barangannya sekiranya perjanjian tidak dicapai dengan pentadbiran Trump sebelum 1 Ogos, apabila tempoh penangguhan tarif timbal balik Trump yang menyasarkan puluhan rakan dagang utama AS akan tamat.

    Trump berkata ‘atas arahan saya,’ Jepun akan melabur sebanyak AS$550 bilion di AS di bawah perjanjian itu.

    Trump kemudian berkata dalam satu acara di Rumah Putih bahawa beliau ‘baru sahaja menandatangani perjanjian perdagangan terbesar dalam sejarah’ dengan Jepun, sambil mengumumkan kedua-dua negara akan membentuk usaha sama bagi projek gas asli cecair (LNG) di Alaska.

    Beberapa minggu sebelum perjanjian pada Selasa, Trump memberi isyarat bahawa usaha mencapai persetujuan dengan Jepun sebelum tarikh akhir 1 Ogos adalah sukar. Beliau turut meningkatkan tekanan dengan mengulangi dakwaan bahawa sekutu utama AS itu enggan mengimport kereta dan produk pertanian dari Amerika. – Bernama

    Kenderaan baharu diparkir di Jeti Daikoku di Yokohama, selatan Tokyo kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda