TOKYO, 2 JULAI – Kerajaan Jepun berkata banyak lagi yang perlu dilakukan untuk persiapan menghadapi kemungkinan berlakunya gempa bumi besar bagi mengurangkan angka kematian yang dikhuatiri mencecah sehingga 300,000 orang.
Gempa bumi amat sukar diramalkan, tetapi Januari lalu panel kerajaan menambah kebarangkalian berlakunya gempa besar di Palung Nankai di luar Jepun dalam tempoh 30 tahun akan datang kepada 75-82 peratus.
Kerajaan itu kemudian mengeluarkan anggaran baharu pada Mac mengatakan gempa bumi besar dan tsunami seterusnya boleh menyebabkan 298,000 kematian dan kerugian akibat kerosakan sehingga AS$2 trilion.
Pada tahun 2014, Majlis Pengurusan Bencana Pusat mengeluarkan pelan kesiapsiagaan yang mencadangkan satu siri langkah yang diharapkan dapat mengurangkan kematian sebanyak 80 peratus.
Bagaimanapun, kerajaan itu berkata setakat ini langkah yang diambil hanya akan mengurangkan tol sebanyak 20 peratus, lapor agensi berita Kyodo dan pelan persediaan yang dikemas kini telah dikeluarkan kelmarin.
Ini mencadangkan usaha yang dipercepatkan termasuk membina benteng dan bangunan pemindahan serta latihan yang lebih kerap untuk meningkatkan kesiapsiagaan orang ramai.
“Adalah perlu bagi negara, majlis perbandaran, syarikat dan badan bukan untung untuk bersatu dan mengambil langkah bagi menyelamatkan sebanyak mungkin nyawa,” kata Perdana Menteri, Shigeru Ishiba pada mesyuarat kerajaan, lapor media tempatan.
Palung Nankai ialah parit dasar laut sepanjang 800 kilometer yang selari dengan pantai Pasifik Jepun di mana satu plat tektonik ‘tergelincir’ – antara satu sama lain.
Dalam tempoh 1,400 tahun yang lalu, gempa bumi besar di Nankai Trough telah berlaku setiap 100 hingga 200 tahun. Yang terakhir adalah pada tahun 1946. – AFP


