TOKYO, 3 JAN – Penyiasat Jepun hari ini menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perlanggaran dahsyat di Lapangan Terbang Haneda Tokyo, yang melibatkan sebuah pesawat pengawal pantai dan sebuah jet penumpang yang membunuh lima orang, dengan hampir 400 yang lain melepaskan diri daripada pesawat yang terbakar.
Semua kecuali seorang daripada enam individu di dalam pesawat kecil itu terkorban, namun kesemua 379 penumpang dan anak kapal Japan Airlines (JAL) menyelamatkan diri dengan menuruni gelongsor kecemasan beberapa minit sebelum Airbus itu dijilat api lewat semalam.
Bangkai hitam pesawat itu yang masih berada di atas landasan hari ini, menjadi bukti betapa mencarar proses penyelamatan mereka.
Beberapa ratus meter dari tapak kejadian, kelihatan bangkai pesawat pengawal pantai DHC-8 yang terdampar.
Kapten pesawat pengawal pantai yang dalam perjalanan ke zon gempa Hari Tahun Baharu di tengah Jepun merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat namun mengalami kecederaan serius.

Rakaman semalam menunjukkan bola api meletus dari bawah pesawat itu sejurus selepas mendarat dan terhenti di bahagian muncung pesawat setelah gear pendaratan depannya gagal berfungsi.
Ketika orang ramai sibuk menyelamatkan diri, puluhan jentera bomba berusaha memadamkan api tersebut, namun seluruh badan pesawat itu terbakar sejurus selepas itu.
Ia mengambil masa lapan jam untuk api dipadamkan secara keseluruhan.
“Keadaan semakin panas di dalam pesawat dan sejujurnya, saya fikir, saya tidak akan bertahan,” kata seorang penumpang wanita kepada penyiar NHK.
“Saya fikir kami mendarat seperti biasa. Tetapi kemudian saya menyedari bahawa saya menghidu asap,” beritahu seorang wanita dengan anak kecil kepada NHK. – AFP