TOKYO, 4 SEPT – Kerajaan Jepun hari ini meningkatkan saiz pakej bantuan untuk sektor perikanan selepas China mengharamkan makanan lautnya susulan pelepasan air sisa dari loji nuklear Fukushima yang lumpuh.
Pengumuman itu dibuat ketika lebih 100 nelayan dan penduduk tempatan yang tinggal berhampiran Fukushima akan memfailkan saman minggu ini untuk menghentikan pelepasan itu.
Pembiayaan tambahan 20.7 bilion yen (AS$141 juta) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Fumio Kishida adalah tambahan kepada 80 bilion yen sedia ada yang bertujuan untuk meminimumkan kerosakan reputasi bagi industri dan mengekalkan perniagaan.
Bantuan yang dipertingkatkan itu kini berjumlah 100.7 bilion yen (AS$688 juta) adalah gambaran ‘keazaman kerajaan untuk melindungi’ sektor yang sudah terjejas akibat bencana nuklear 2011 di Fukushima, kata Kishida.
Lebih 100 plaintif di Fukushima dan wilayah kejiranan akan memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Daerah Fukushima pada Jumaat, kata Sugie Tanji, ahli sekretariat kumpulan itu, memberitahu AFP. – AFP