TOKYO, 13 FEB – Agensi angkasa lepas Jepun hari ini menangguhkan pelancaran roket generasi akan datang yang dirancang untuk minggu ini berikutan ramalan cuaca buruk, selepas dua percubaan sebelum ini berakhir dengan kegagalan.
Roket H3 telah dijadualkan berlepas pada Khamis dari pulau selatan Tanegashima.
Roket yang dijulang sebagai kapal hebat, fleksibel dan menjimatkan kos, membawa dua satelit kecil semasa misi, bertujuan untuk membuktikan ia boleh masuk ke orbit.
“Memandangkan cuaca pada hari itu dijangka bertambah buruk, kami memutuskan untuk menangguhkan pelancaran,” kata Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun (JAXA), sambil menambah tarikh baharu akan diumumkan ‘sebaik sahaja keputusan dibuat.’
Jepun berjaya mendaratkan kapal angkasa SLIMnya yang digelar ‘Moon Sniper’ di permukaan bulan pada Januari lepas, walaupun panel solar kapal itu menghadap ke arah yang salah.
Sebelum itu, negara itu turut mengalami beberapa siri kegagalan.
Ia termasuk percubaan pelancaran H3 pertama pada Februari tahun lepas yang sudah ditangguhkan selama beberapa tahun dan terbengkalai apabila penggalak roket pepejal tidak menyala.
Kemudian, pada percubaan kedua pada bulan Mac, kapal angkasa itu diarahkan untuk dimusnahkan apabila pusat arahan menyimpulkan misinya tidak berjaya.
Dibina oleh Mitsubishi Heavy Industries, H3, adalah pengganti kepada sistem pelancaran H-IIA Jepun, yang mula diperkenalkan pada tahun 2001. – AFP


