Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun tarik balik amaran tsunami

    TOKYO, 31 JULAI – Pejabat meteorologi Jepun hari ini menarik balik amaran tsunami yang dikeluarkan sehari sebelumnya selepas kawasan Timur Jauh Rusia dilanda salah satu gempa bumi terkuat yang pernah direkodkan.

    “Pada masa ini, tiada kawasan pesisir yang berada di bawah amaran atau nasihat tsunami,” menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA) di laman web rasminya.

    Berjuta-juta penduduk di negara-negara sekitar Lautan Pasifik diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas gempa bumi berukuran 8.8 magnitud melanda perairan Semenanjung Kamchatka, Rusia kelmarin.

    Kerugian paling teruk dilaporkan berlaku di Rusia, apabila tsunami melanda pelabuhan Severo-Kurilsk dan menenggelamkan sebuah kilang pemprosesan ikan tempatan, menurut pegawai.

    Rakaman televisyen negara Rusia menunjukkan bangunan dan serpihan dibawa arus ke laut.

    Gempa bumi awal itu menyebabkan kerosakan terhad dan hanya kecederaan ringan dilaporkan.

    Kebimbangan mengenai kemungkinan berulangnya bencana tsunami Disember 2004 yang meragut 220,000 nyawa di 11 negara – yang mendorong penambahbaikan sistem amaran awal – ternyata tidak menjadi kenyataan.

    Di Jepun, yang pernah mengalami gempa bumi dan tsunami dahsyat pada tahun 2011 sehingga mengorbankan 15,000 orang, hampir dua juta penduduk diarahkan berpindah ke kawasan tinggi. Namun gelombang terbesar hanya setinggi 1.3 meter (4.3 kaki). – AFP

    Pemandangan Pantai Heisaura di bandar Tateyama, Wilayah Chiba selepas amaran tsunami ditarik balik, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda