Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jepun tawar alternatif pelaburan ekonomi di Afrika

    YOKOHAMA, 20 OGOS – Jepun hari ini menganjurkan persidangan pembangunan selama tiga hari bersama pemimpin Afrika, menawarkan dirinya sebagai alternatif selain China, ketika benua itu berdepan krisis hutang yang diburukkan lagi oleh pemotongan bantuan Barat, konflik dan perubahan iklim.

    Antara yang hadir di Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika (TICAD) termasuk Presiden Nigeria, Bola Tinubu; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Kenya, William Ruto; dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

    “Krisis hutang dan kecairan di benua Afrika semakin meruncing, menambah cabaran sosio-ekonomi dan membatas ruang fiskal kerajaan untuk menyediakan jaring keselamatan bagi rakyatnya,” kata pejabat Ramaphosa dalam satu kenyataan.

    China telah banyak melabur di Afrika sepanjang dekad lalu, dengan syarikatnya menandatangani perjanjian bernilai ratusan bilion dolar untuk membiayai pelabuhan, landasan kereta api, lebuh raya dan projek lain di bawah inisiatif infrastruktur global Jalur dan Laluan Beijing.

    Namun, pinjaman baharu semakin berkurangan dan negara membangun kini berdepan ‘gelombang besar’ hutang kepada Beijing serta pemberi pinjaman swasta antarabangsa, menurut Institut Lowy, sebuah badan pemikir Australia, pada Mei lalu.

    Shigeru Ishiba (tengah), Antonio Guterres bersama pemimpin negara-negara Afrika bergambar semasa Persidangan Antarabangsa Tokyo mengenai Pembangunan Afrika ke-9 (TICAD 9) di Yokohama, Tokyo, Jepun, kelmarin. – AFP

    Negara-negara Afrika juga menyaksikan bantuan Barat dipotong, terutamanya selepas pembubaran Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump.

    Menurut laporan media tempatan, TICAD dijangka membincangkan kemungkinan perjanjian perdagangan bebas masa depan antara Jepun dan negara-negara Afrika, jaminan pinjaman serta insentif pelaburan kepada firma Jepun.

    Namun, lobi perniagaan terbesar Jepun, Keidanren, memberi amaran bahawa Tokyo perlu berusaha untuk meraih kepercayaan negara membangun.

    “Dengan menyumbang secara aktif dalam menyelesaikan isu sosial yang dihadapi negara-negara di Selatan Global, Jepun mesti dipilih sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai,” kata Keidanren dalam satu syor dasar pada Jun lalu.

    Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, berkata Afrika menawarkan peluang dengan populasi mudanya serta sumber asli yang banyak.

    “Kami akan membincangkan bagaimana sumber manusia dan sumber tersebut dapat dimanfaatkan sebagai tenaga penggerak dan dihubungkan kepada pertumbuhan Jepun serta kemakmuran dunia,” katanya kepada pemberita kelmarin.

    Menurut Kyodo News, Ishiba dijangka mencadangkan satu zon ekonomi yang merangkumi rantau Lautan Hindi dan Afrika pada persidangan itu – yang merupakan edisi ke-9 sejak 1993.

    Jepun juga akan berikrar untuk melatih 30,000 pakar kecerdasan buatan dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi menggalakkan pendigitalan industri dan pewujudan pekerjaan, lapor Kyodo. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda