TOKYO, 28 Dis – Seorang penyelidik Jepun tanpa sengaja membina satu kaca baru yang boleh pulih sendiri hanya dengan menekannya selepas retak.
Penemuan itu membuka jalan untuk pembinaan kaca tahan lama yang boleh memanjangkan jangka hayat produk harian seperti kaca tingkap kereta, bahan binaan, tangki ikan dan juga tandas.
Yu Yanagisawa, seorang penyelidik kimia di Universiti Tokyo, membuat penemuan itu secara kebetulan semasa menyelidik pelekatan yang boleh digunakan di permukaan yang basah.
Dalam demonstrasi makmal untuk AFP itu, Yanagisawa telah memecah sampel kaca menjadi dua keping. Kemudian, menemukan dan menekan bahagian silang kedua-dua keping itu selama 30 saat sehingga kaca itu pulih dengan sendirinya, bertemu antara satu dengan yang lain dan hampir menyerupai bentuk asalnya.
Bagi menunjukkan kekuatan kaca itu, dia kemudian menggantung sebotol air penuh pada kaca itu dan ia tetap tahan dan utuh.

Adakah ini bermakna kita akan dapat membaiki keretakan pada telefon pintar kita dengan hanya menekan jari sahaja? Setentunya tidak. Tidak sekarang dan tidak dalam masa terdekat ini.
“Tidak realisitk jika memperbaiki apa yang pecah, ia lebih kepada penemuan membuat kaca resin yang tahan lama,” kata Yanagisawa kepada AFP.
Produk kaca akan pecah selepas bertahun-tahun digunakan kerana tekanan fizikal dan menjadi lembut.
“Apabila pecahnya sesuatu itu, ia sudah mempunyai banyak retak kecil yang terkumpul dan boleh mengakibatkan kemusnahan yang besar,” kata Yanagisawa.
“Kami mungkin dapat menggandakan atau memanjangkan jangka hayat sesuatu barangan yang bertahan selama 10 atau 20 tahun,” katanya. – AFP