TOKYO, 26 MAC – Jepun bersedia menerima dua individu yang cedera dan sakit dari Gaza dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan rawatan perubatan, menjadikannya bantuan pertama negara itu kepada wilayah Palestin di tengah serangan berterusan Israel, menurut sumber kerajaan Jepun kelmarin.
Seorang rakyat Palestin yang menerima rawatan di hospital di Mesir selepas cedera dalam pertempuran di Gaza, serta seorang lagi pesakit dijangka tiba di Jepun masing-masing pada Rabu dan Jumaat untuk menjalani rawatan di Hospital Pusat Pasukan Pertahanan Diri Jepun di Tokyo, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut sumber, bantuan perubatan itu diatur atas permintaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan bukan bertujuan untuk menempatkan semula penduduk Gaza ke Jepun.
Pada Februari lalu, Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba dalam satu sesi parlimen berkata bahawa kerajaan sedang berusaha menerima pesakit dari Gaza yang sakit atau cedera.
Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada Timur Tengah untuk import minyak, Jepun secara tradisinya mengamalkan ‘diplomasi seimbang’ antara negara-negara Islam dan Israel, yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat.
Jepun sebelum ini menerima tentera Ukraine yang cedera untuk rawatan perubatan sebagai sebahagian daripada sokongannya terhadap negara Eropah Timur itu. – Bernama/Kyodo
