TOKYO, 24 DIS – Jepun berkata hari ini, mereka tidak akan menghantar wakil kerajaan ke Sukan Olimpik Beijing pada Februari kerana mereka menyeru China untuk menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Jurucakap kerajaan, Hirokazu Matsuno tidak menyifatkan langkah itu sebagai boikot diplomatik – sudah diumumkan oleh AS dan lain-lain – tetapi berkata ‘tiada rancangan’ untuk pegawai yang menghadiri temasya itu.
“Jepun percaya adalah penting nilai bersama yang dikongsi oleh masyarakat antarabangsa seperti kebebasan, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang turut dihormati di China,” katanya.
“Seperti yang ditunjukkan oleh Tokyo 2022 kepada dunia, Olimpik dan Paralimpik adalah perayaan keamanan dan sukan yang memberi keberanian kepada dunia.”
Amerika Syarikat, Britain dan Australia serta Kanada bulan ini mengumumkan pemboikotan secara diplomatik terhadap temasya itu atas perkara yang mereka anggap sebagai pencabulan hak asasi meluas oleh China, termasuk terhadap minoriti Uighur yang beragama Islam. Pemboikotan mereka bagaimanapun tidak termasuk menghantar atlet ke Sukan Musim Sejuk, yang bermula pada 4 Februari.
Namun, Beijing telah memberi amaran bahawa empat negara itu akan ‘menerima akibat’ atas kempen yang diketuai AS itu. – AFP
