TOKYO, 21 JUN – Hampir separuh daripada syarikat besar Jepun yang tidak pernah mempunyai ahli lembaga pengarah wanita sedang menimbang untuk berbuat demikian, menurut tinjauan NHK, hari ini, lapor Xinhua.
Menurut tinjauan pendapat ke atas 245 syarikat di bahagian utama Bursa Saham Tokyo yang mengadakan mesyuarat pemegang saham bulan ini, 120 daripadanya berkata mereka sedang mempertimbang untuk melantik wanita sebagai ahli lembaga buat kali pertama.
Pemegang saham di Jepun kini menggesa syarikat supaya membetulkan ketakseimbangan jantina dalam barisan lembaga pengarah masing-masing, lapor penyiar awam itu.
Sementara itu, tinjauan menunjukkan pemimpin perniagaan keberatan untuk memupuk pekerja wanita mereka sendiri sebagai eksekutif, sebaliknya mengaji orang dari luar syarikat.
Kebanyakan firma yang ditinjau berkata mereka akan mencari calon eksekutif wanita dari luar, termasuk peguam dan profesor universiti, manakala hanya enam merancang untuk memilih wanita dari syarikat mereka sendiri. – Bernama


