TOKYO, 24 DIS – Jepun akan meningkatkan langkah keselamatan siber selepas penggodam mencuri AS$306 juta daripada bursa mata wang kripto Jepun DMM Bitcoin, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi hari ini.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk meningkatkan keupayaan keselamatan siber Jepun,” kata Hayashi pada sidang akhbar, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Polis Jepun mengaitkan kumpulan penggodam Lazarus dengan kejadian kecurian mata wang digital dari DMM Bitcoin yang berpangkalan di Tokyo pada Mei. Bursa itu memindahkan akaun pelanggan ke syarikat lain dan mengumumkan bahawa ia akan menutup operasi pada Mac 2025.
Siasatan polis mendapati bahawa penggodam menghantar tawaran kerja palsu kepada pekerja sebuah syarikat yang menguruskan mata wang kripto bagi pihak DMM Bitcoin pada Mac 2024.
Pekerja itu membuka mesej itu, yang menyebabkan komputer mereka dijangkiti perisian berniat jahat, memberikan penggodam akses kepada sistem pengurusan.
Kumpulan penggodam itu, yang polis percaya mempunyai kaitan dengan Korea Utara, kemudian memalsukan jumlah transaksi dan butiran akaun untuk mengawal aset berkenaan. – Bernama