TOKYO, 6 OGOS – Kerajaan Jepun kini menyeru para petani untuk menanam lebih banyak padi, umum Perdana Menteri Shigeru Ishiba kelmarin, menandakan perubahan besar daripada dasar berdekad-dekad yang bertujuan mempelbagaikan tanaman selepas harga beras melonjak dua kali ganda tahun ini.
“Dalam menyemak semula dasar sawah padi bagi tahun fiskal 2027, daripada mengatakan ‘Jangan tanam padi’, kita akan beralih kepada menyokong petani untuk mengambil pendekatan positif dalam meningkatkan pengeluaran,” kata Ishiba semasa mesyuarat menteri.
Menurut penyiar awam NHK, kerajaan akan menyokong pertanian padi berskala besar dan membantu petani mengakses teknologi baharu.
Kekurangan bekalan beras akibat gangguan rantaian bekalan menyebabkan harga hampir berganda dalam tempoh setahun.

Bagi meringankan beban pengguna dan pengusaha restoran, kerajaan mula menggunakan stok kecemasan sejak Mac, langkah yang sebelum ini hanya diambil ketika bencana berlaku.
Penurunan populariti Ishiba antara lain berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap kenaikan mendadak harga beras, dan para pengundi telah menolak Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinannya daripada majoriti di kedua-dua dewan parlimen dalam pilihan raya baru-baru ini.
Jepun mula melaksanakan dasar mengurangkan penanaman padi pada tahun 1971 berikutan perubahan dalam corak pemakanan rakyat yang menyaksikan permintaan terhadap beras semakin merosot.
Hasil dasar itu, keluasan tanah yang digunakan untuk sawah padi iaitu tidak termasuk untuk makanan ternakan telah merosot kepada kurang daripada 1.4 juta hektar pada 2024, berbanding kemuncaknya sebanyak 3.3 juta hektar pada tahun 1960.
Walaupun dasar itu secara rasmi dimansuhkan pada 2018, insentif masih diteruskan untuk menggalakkan petani beralih kepada tanaman lain seperti kacang soya. – AFP

