TOKYO, 13 JUN – Syarikat penjanaan tenaga terbesar Jepun, Jera, kelmarin mengumumkan bahawa ia akan meningkatkan import gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS), ketika kerajaan Jepun giat mengusahakan perjanjian perdagangan dengan Washington.
Jera memaklumkan bahawa pihaknya telah menandatangani perjanjian bekalan daripada empat projek gas AS di Texas dan Louisiana menerusi kontrak baharu selama 20 tahun.
Perjanjian ini “memajukan strategi jangka panjang Jera untuk membina portfolio pemerolehan LNG yang pelbagai dan berdaya tahan bagi menyokong tenaga yang stabil dan selamat untuk Jepun serta Asia,” menurut kenyataan syarikat itu.
Presiden AS Donald Trump berhasrat untuk meluaskan pengeluaran dan eksport bahan api negaranya, sejajar dengan slogan kempen pilihan rayanya: ‘drill, baby, drill’ bagi minyak dan gas.
Perjanjian itu dibuat ketika pegawai Jepun sedang giat berunding dengan rakan sejawat AS untuk mengurangkan tarif perdagangan “Hari Pembebasan” yang dikenakan oleh Trump.
Import bahan api dan produk pertanian dipercayai menjadi antara bahan tawar-menawar utama bagi Tokyo.
Jera menyatakan bahawa perjanjian baharu ini akan membolehkan mereka memperoleh sehingga 5.5 juta tan tambahan LNG setahun dari AS. Pada masa ini, mereka mengimport sekitar 3.5 hingga 4 juta tan.
Jabatan Dalam Negeri AS memuji perjanjian itu sebagai “satu lagi pencapaian utama terhadap komitmen Presiden Trump untuk meningkatkan pelaburan dalam negara dan menjulang dominasi Amerika.”
“Komitmen ini… akan menjana hampir suku trilion dolar kepada ekonomi negara kita dan menyokong lebih 50,000 pekerjaan dalam industri LNG Amerika,” kata Setiausaha Dalam Negeri, Doug Burgum, dalam satu kenyataan. Menurut laman web rasmi syarikat, Jera kini menjana sekitar 30 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga elektrik di Jepun. – AFP
